Kuala Lumpur: Jawatankuasa Majlis Fatwa
Kebangsaan yang bersidang semalam
memutuskan anggota keselamatan yang
terkorban dalam insiden pencerobohan di
Sabah tergolong dalam syahid akhirat.
Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr
Abd Shukor Husin, berkata jawatankuasa
berpandangan kematian mereka dalam
mempertahankan keselamatan rakyat dan
negara sangat mulia di sisi agama.
“Jasa dan pengorbanan anggota
keselamatan sangat besar kepada negara
kerana mereka terkorban dalam
mempertahankan keselamatan nyawa,
harta, keluarga, maruah dan kedaulatan
negara,” katanya dalam kenyataan tiga
perenggan, semalam.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk
Mohd Shukri Muhamad, berkata langkah
kerajaan mempertahankan kawasan yang
diceroboh bertepatan dengan syarak.
Beliau berkata, kerajaan juga sudah
menggunakan kebijaksanaan dan memberi
tempoh rundingan damai seperti yang
dituntut dalam Islam bagi mengelakkan
pertumpahan darah.
Pertahan hak
Katanya, bagaimanapun, jika mereka
menolak proses perdamaian itu,
pemerintah wajib melaksanakan tindakan
demi mempertahankan hak dan
kedaulatan negara.
“Islam menyuruh kita menggunakan
kebijaksanaan dan langkah itu sudah
diambil kerajaan. Namun, dalam isu ini
mereka secara terang-terangan menolak
proses perdamaian. Jadi, pemerintah
berhak menggunakan tindakan
sepatutnya,” katanya.
Mohd Shukri menegaskan, menceroboh
negara lain walaupun sesama Islam adalah
haram kerana ia bukan milik mereka.
Penasihat kepada Majlis Agama Islam
Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot, pula
berkata, pencerobohan itu disifatkan
sebagai perbuatan terkutuk dan
menyalahi Islam.
“Tindakan mereka adalah haram sama
sekali kerana melakukan pencerobohan ke
atas apa yang bukan lagi hak milik
mereka. Dalam al-Quran pun, Allah secara
terang menegah manusia daripada
mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.
“Malah, perbuatan pencerobohan itu juga
kalau dinilai dari segi logik akal fikiran dan
undang-undang juga, adalah salah dan
keterlaluan,” katanya.
Satu jihad
Noh menyifatkan tindakan tegas diambil
pihak berkuasa terdiri daripada Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) adalah satu jihad kerana
bertujuan mempertahankan negara
daripada ancaman musuh yang
merosakkan.
“Saya menyokong 100 peratus tindakan
tegas diambil pihak berkuasa ke atas
pengganas kerana kita sudah memberi
mereka tempoh yang cukup untuk
melakukan sebarang perundingan secara
damai,” katanya.
Pengurus Besar Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (YADIM), Dr Samsudin Munir,
pula menganggap pasukan keselamatan
yang bertungkus lumus mempertahankan
negara ketika ini sama seperti dilakukan
Nabi Muhammad SAW ketika baginda
mempertahankan Kota Madinah.
3 comments:
Bagus la kalau mcm tuh...semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka yg terkorban.
bukan tu kerja Allah ke? kita maklumlah diorg mati di jalan Allah mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, tapi smpi sebiji mcm bagi pengiktirafan halal haram tu mcm x kena la. kita setakat yakini dah la...
bkn itu urusan Allah ke? diorg mati kerana mempertahankan Agama,bangsa & tanah air. itu kita maklum dn hargai sgt2.tapi dah mcm bagi status Halal Haram mcm pelik la pulak.kita yakini diorg syahid dah la....
Post a Comment