Tuesday, October 2, 2012

PELAJAR IPT TAK DAPAT BANTUAN RAKYAT 1 MALAYSIA








KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berumur 21 tahun ke atas tidak termasuk dalam kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0.

Mereka bagaimanapun layak menerima Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 yang diberi buat kali kedua. Pemberian baucar buku itu bakal memberi manfaat kepada seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.  

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian tersebut memberitahu, program Baucar Buku 1Malaysia yang dulunya bernilai RM200 adalah kesinambungan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kos membeli buku kepada para pelajar dan ia melibatkan peruntukan sebanyak RM325 juta.

Penjelasan itu dibuat susulan beberapa laporan akhbar semalam berhubung pemberian BR1M 2.0 yang menyebut bahawa golongan siswazah dan penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dan berusia 21 tahun ke atas layak menerima bantuan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2013 pada Jumaat lepas memaklumkan bahawa di bawah projek BR1M 2.0 hanya isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah layak menerima bantuan sebanyak RM500.

Bantuan kali ini turut dipanjangkan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan dan mereka layak menerima bantuan sebanyak RM250.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dalam satu majlis di sini mengesahkan pelajar IPT tidak berhak mendapat BR1M 2.0 kerana mereka telah menerima baucar buku bernilai RM250.

“Mereka tidak boleh mendapatkan kedua-dua insentif berkenaan. Mereka dapat satu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Insurans Malaysia 2012 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Siang Chai berkata, borang permohonan BR1M 2.0 dijangka diedarkan dalam bulan ini kepada kumpulan sasarannya.

“Pengumuman berhubung pengedaran borang BR1M 2.0 akan dimaklumkan dalam tempoh antara satu hingga dua minggu lagi,” katanya.

Tambah beliau, angka penerima bantuan berkenaan kali ini dijangka meningkat lebih tinggi berbanding 4.3 juta orang sebelum ini yang menyaksikan 2.7 juta yang bujang turut mendapat manfaat.-kosmo


1 comment:

MalizaMah said...

Hoooo.... Dpt vaucer buku kann.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...