Setelah mendapat pengiktirafan status lima bintang dalam Malaysia Government Portals and Websites Assesment 2011 (MGPWA2011) pada tahun lalu, Portal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menduduki ranking pertama dalam Penilaian Laman Web dan Portal Agensi Kerajaan kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi tahun 2012.
Penilaian Prestasi yang dilakukan oleh Multimedia Development Corporation (MDEC) sebelum ini melibatkan 20 buah universiti awam. Daripada jumlah tersebut, UTHM berkongsi kedudukan ranking pertama dengan Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Utara Malaysia, di samping berjaya mengekalkan taraf lima bintang sama seperti tahun lalu. Manakala di peringkat penilaian portal di Malaysia pula daripada 554 portal yang dinilai, UTHM berada di ranking ke 9 berbanding tahun sebelumnya di ranking ke 10.
UTHM sebelum ini adalah antara 10 agensi yang telah dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyertai program Mentor Mentee KPT bagi membantu agensi-agensi di bawahnya melakukan penambahbaikan dan peningkatan rating laman web masing-masing.
Justeru, bermula bulan April lalu UTHM telah membantu beberapa agensi di bawahnya dengan mengadakan pertemuan melalui bengkel, pemantauan online secara berkala dan perbincangan serta penyelesaian masalah menerusi email dan juga telefon. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila kesemua mentee di bawah pemantauan UTHM menunjukkan peningkatan prestasi dalam Penilaian Laman Web dan Portal Agensi Kerajaan yang diadakan pada kali ini.
Dalam usaha memudah cara segala urusan dan tadbir urus universiti melalui kemudahan ICT, portal UTHM dilengkapi dengan ciri-ciri mesra pengguna. Para pengguna yang terdiri daripada kelompok pelajar, pentadbir, ibu bapa mahupun pelanggan luar akan memperoleh maklumat yang berkaitan kepentingan masing-masing secara mudah dan cepat.
Manakala bagi pengguna luar pula mereka boleh melayari aplikasi online seperti permohonan kemasukan dan semakan permohonan, jawatan kosong serta Sistem Saluran Aduan dan Cadangan Dalaman (SACAD) untuk memudahkan urusan masing-masing. Selain itu, Portal UTHM juga turut dimuatkan dengan rangkaian laman sosial facebook dan twitter agar para pengguna dapat berinteraksi dengan lebih mudah.
Pada ketika ini portal UTHM amat membantu warga kerjanya mencapai segala maklumat berkaitan rekod peribadi secara menyeluruh seperti rekod cuti, latihan dan kursus, penerbitan dan penyelidikan dan sebagainya melalui satu sistem yang dikenali sebagai Total Campus Integrated System (TCIS).
Manakala bagi pelajar, Sistem Maklumat Akademik Pelajar (SMAP) pula amat membantu dalam melicinkan urusan rekod akademik, pengajaran dan pembelajaran mereka serta memudahkan interaksi bersama penyelia masing-masing.
Portal UTHM juga diperhebatkan dengan pelbagai kandungan audio visual menarik yang disalurkan oleh University Campus Interactive TV (UCiTV) yang memaparkan pelbagai rakaman video aktiviti akademik dan program-program anjuran universiti. Kemampuan yang dimiliki oleh UCiTV ini juga membolehkan pengunjung portal dari seluruh dunia menyaksikan acara-acara utama UTHM secara langsung melalui laman web UTHM yang beralamat di www.uthm.edu.my.
KLIK SINI UNTUK MAKLUMAT SETERUSNYA