Friday, November 2, 2012

UTHM DIIKTIRAF TIER 5 CEMERLANG DALAM PENARAFAN SETARA MQA





Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pengiktirafan cemerlang atau Tier 5 menerusi penilaian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) bagi tahun 2011 yang dikendalikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 MQA yang diadakan di Shah Alam pada 1 November 2012. Penarafan SETARA 2011 merupakan lanjutan dari SETARA 2009 dan 2007 bagi mengukur kualiti, kebertanggungjawaban dan prestasi setiap institut pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia dengan memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama. 

Seperti tahun terdahulu, penilaian sistem penarafan SETARA dibuat menggunakan kaedah enam peringkat iaitu Tier 1 sebagai ‘Lemah’ manakala Tier 6 sebagai ‘Terbilang.’ Ini bermakna kedudukan pencapaian setiap IPT akan diukur berdasarkan skor pemarkahan masing-masing. Penilaian ini merupakan salah satu usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi dalam meningkatkan budaya penambahbaikan kualiti secara berterusan dan sistem negara yang melengkapi jaminan kualiti MQA.

Keputusan penarafan SETARA bagi tahun 2009 sebelum ini meletakkan UTHM berada di kedudukan Tier 4 iaitu pencapaian Sangat Baik. Sebagai sebuah universiti yang sedang membangun, peningkatan satu anak tangga daripada Tier 4 ke Tier 5 merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan.

Kejayaan mencapai tahap cemerlang ini akan membolehkan universiti ini menikmati banyak manfaat termasuk tajaan kerajaan bagi pengambilan pelajar dalam dan luar negara, boleh memohon dan menerima geran penyelidikan dan layak mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah program pelajar pra dan pasca siswazah.

Bagi UTHM, kejayaan ini membuktikan bahawa universiti ini sememangnya diiktiraf setanding dengan universiti ternama yang lain. Kejayaan ini juga akan menjadi pendorong kepada UTHM untuk terus mencipta kecemerlangan sehingga dapat mencapai tahap Terbilang atau Tier 6 pada penilaian akan datang.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...