Thursday, March 7, 2013

FATWA KEBANGSAAN WIRA GUGUR DI LAHAD DATU MATI SYAHID







Kuala Lumpur: Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang semalam memutuskan anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah tergolong dalam syahid akhirat.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin, berkata jawatankuasa berpandangan kematian mereka dalam mempertahankan keselamatan rakyat dan negara sangat mulia di sisi agama.

“Jasa dan pengorbanan anggota keselamatan sangat besar kepada negara kerana mereka terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan, semalam.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad, berkata langkah kerajaan mempertahankan kawasan yang diceroboh bertepatan dengan syarak. Beliau berkata, kerajaan juga sudah menggunakan kebijaksanaan dan memberi tempoh rundingan damai seperti yang dituntut dalam Islam bagi mengelakkan pertumpahan darah.

Pertahan hak Katanya, bagaimanapun, jika mereka menolak proses perdamaian itu, pemerintah wajib melaksanakan tindakan demi mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

“Islam menyuruh kita menggunakan kebijaksanaan dan langkah itu sudah diambil kerajaan. Namun, dalam isu ini mereka secara terang-terangan menolak proses perdamaian. Jadi, pemerintah berhak menggunakan tindakan sepatutnya,” katanya.

Mohd Shukri menegaskan, menceroboh negara lain walaupun sesama Islam adalah haram kerana ia bukan milik mereka.

Penasihat kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot, pula berkata, pencerobohan itu disifatkan sebagai perbuatan terkutuk dan menyalahi Islam.

“Tindakan mereka adalah haram sama sekali kerana melakukan pencerobohan ke atas apa yang bukan lagi hak milik mereka. Dalam al-Quran pun, Allah secara terang menegah manusia daripada mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. “Malah, perbuatan pencerobohan itu juga kalau dinilai dari segi logik akal fikiran dan undang-undang juga, adalah salah dan keterlaluan,” katanya.

Satu jihad Noh menyifatkan tindakan tegas diambil pihak berkuasa terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu jihad kerana bertujuan mempertahankan negara daripada ancaman musuh yang merosakkan.

“Saya menyokong 100 peratus tindakan tegas diambil pihak berkuasa ke atas pengganas kerana kita sudah memberi mereka tempoh yang cukup untuk melakukan sebarang perundingan secara damai,” katanya.

Pengurus Besar Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Samsudin Munir, pula menganggap pasukan keselamatan yang bertungkus lumus mempertahankan negara ketika ini sama seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika baginda mempertahankan Kota Madinah.


3 comments:

  1. Bagus la kalau mcm tuh...semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka yg terkorban.

    ReplyDelete
  2. bukan tu kerja Allah ke? kita maklumlah diorg mati di jalan Allah mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, tapi smpi sebiji mcm bagi pengiktirafan halal haram tu mcm x kena la. kita setakat yakini dah la...

    ReplyDelete
  3. bkn itu urusan Allah ke? diorg mati kerana mempertahankan Agama,bangsa & tanah air. itu kita maklum dn hargai sgt2.tapi dah mcm bagi status Halal Haram mcm pelik la pulak.kita yakini diorg syahid dah la....

    ReplyDelete